Thursday, March 12, 2009

POLIS CINTA..!!??

“Ingat neraka! Kau tak takut neraka ke?” sms seorang siswi kepada teman sekuliahnya.

“Haram! Haram! Bercouple itu haram!” bentak seorang yang lain.

Ada sekumpulan warga kampus yang kerjanya adalah menyerang orang bercinta. Serangan mulut, serangan kasut, serangan sms, serangan surat layang! Mereka pantang melihat orang bercinta dan bercouple. Tersirap darah dan berasap telinga setiap kali sampai ke pengetahuan mereka, ada kenalan yang bercinta.

Mereka adalah pembanteras cinta.

POLIS CINTA!


AMAR MA’RUF NAHI MUNKAR

Amar Ma’ruf dan Nahi Munkar memang tanggungjawab kita bersama.

Benar sekali.

Perkara-perkara yang salah dan mendurhakai Allah tidak harus dibiarkan. Apabila Allah Subhanahu wa Ta’aala memerintahkan manusia agar menjauhkan diri daripada zina, maka perintah itu bermaksud bukan zina sahaja yang menjadi isu, malah tindak tanduk serta perbuatan yang menjurus kepada zina juga harus dihindarkan.

Zina dan maksiat itu berunsurkan ketagihan dan berjangkit. Pantang disentuh, sulit sekali mahu melepaskannya.

Budaya mabuk cinta, berdua-duaan di sana sini memang membimbangkan. Salahnya perbuatan itu bukan subjek yang memerlukan banyak perdebatan. Yang Halal itu jelas, yang Haram juga jelas.

Namun keghairahan pasukan POLIS CINTA yang begitu emosional menyerang warga sekitarnya hingga kelihatan bagai ada yang tidak kenal, sungguh menghairankan. Semenjak saya menulis dua tiga artikel tentang keburukan pergaulan bebas dan bercinta tanpa asas Taqwa, saya menerima begitu banyak email daripada POLIS CINTA yang meluahkan rasa muak dan bencinya mereka kepada orang-orang yang bercouple di kampus. Saya cuba untuk tidak berprasangka, tetapi bahasa-bahasa kesumat itu menimbulkan keraguan di hati saya tentang motif mereka menyerang cinta.

Apakah berkepit-kepit itu masalah yang sebenar (real problem), atau ia hanya masalah yang diperlihatkan (presenting problem)? Apakah tidak pernah kita bayangkan bahawa ia hanya tip of the iceberg? Bahawa masalah kita bukan sekadar masalah anak muda gila bercinta, tetapi gila bercinta itu hanya simptom kepada krisis yang lebih besar lagi serius!

Jika kita hanya mahu memuaskan hati sendiri dengan menghamburkan kemarahan kepada anak-anak muda yang bergelumang dengan dosa ini, kita bisa sahaja terus menerus marah. Sama ada marah secara bertanggungjawab dengan bersemuka, atau mengambil jalan kotor dengan melayangkan surat-surat atau sms amarah dari atas dan bawah, kiri dan kanan, depan dan belakang.

Menyapu amarah dengan amarah.

Namun, jika kita ada nilai empati, cuba untuk memahami masalah sebenar berbanding apa yang sekadar terlihat di mata, usaha membasmi budaya pergaulan bebas dan cinta murahan, memerlukan setiap da’ie untuk melihat apa yang tersirat di sebalik yang tersurat.

Apa yang dimahukan, bukan sekadar kemungkaran yang disanggah, tetapi diUBAH kepada kebaikan.

Daripada Abu Sa’eed al-Khudri radhiyallahu ‘anhu beliau berkata: aku mendengar Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam pernah bersabda: Sesiapa dari kalangan kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Andai tiada kemampuan untuk berbuat demikian, maka hendalah dia mengubahnya dengan lisannya. Dan jika beliau tidak mampu untuk berbuat begitu, maka hendaklah (dikecam) dengan hatinya. Dan demikian itu adalah selemah-lemah iman [Hadith riwayat Muslim]

Kemusykilan perilaku anak muda khususnya yang bersabit dengan cinta, hakikatnya adalah produk kepada sistem nilai mereka, cara mereka memandang kehidupan serta akidah kepercayaan yang tertanam di jiwa. Dalam suasana hakisan akidah umat hari ini, soal keghairahan anak muda bercinta, kepasrahan mereka membiarkan cinta menghancurkan diri dan kehidupan, adalah perkara-perkara yang berada di dalam jangkaan kita.

Justeru wahai pendakwah, sebelum menggari tangan manusia yang mabuk cinta, ketahuilah bahawa usaha untuk membetulkan tingkah laku usaha harus bersifat inside-out, dan tidak sekadar carrot and stick dari luar ke dalam.

Untuk mengembalikan kelompok anak muda yang dibius cinta hingga buta terhadap dosa, bukanlah dengan berleter soal cinta. Sistem nilai mereka harus dibetulkan, cara memandang mereka mesti diluruskan, akidah dan kepercayaan mereka mesti dimurnikan.

Ada manusia memandang cinta dengan pandangan mata biasa. Cinta mungkin remeh di pandangannya kerana terlepas pandang berkaitan dengan ‘kuasa cinta’. Ada manusia yang memandang cinta dengan pandangan akal. Cinta dianggapnya sebagai tindak balas kimia, perlu untuk kesejahteraan dan perkembangan tamadun manusia. Sungguh berfalsafah dan ilmiah pandangan ini, tetapi ia sepi dari sentuhan rasa (emosi).

Segelintir manusia melihat cinta dengan hati dan iman, dan kegagalan menggunakan mata, akal dan hati untuk melihat, pasti berakhir dengan melihat cinta dengan pandangan nafsu.

Benar sekali kata bijak pandai, “WHAT YOU SEE IS WHAT YOU GET”.

Dan benar sekali sambungan bidalan itu, “WHO YOU ARE DETERMINES HOW YOU SEE”.

Manusia yang mabuk cinta harus kembali disedarkan tentang siapa diri mereka. Membangkitkan jiwa seorang hamba adalah agenda besarnya. Agar dengan jiwa hamba itu, pandangan hidupnya akan melihat kehidupan ini sebagai sebuah kehambaan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta’aala. Lalu, apa yang selayaknya untuk seorang hamba, itulah yang menjadi pilihannya. Apa yang penting di sisi Tuannya (Tuhannya), pentinglah ia di sisi si hamba ini.

Itulah sistem nilai. Pegangan manusia tentang apa yang baik, berguna, bermanfaat dan seterusnya berharga dalam hidup ini. Jika seorang lelaki dan seorang perempuan yang sedang asyik maksyuk bercinta tidak mempunyai sebarang keinginan terhadap ganjaran akhirat, tidak punya sebarang kegerunan terhadap balasan akhirat, bisakan cintanya yang lazat itu dibuang untuk mengejar kelazatan yang jauh di alam Sana. It doesn’t make sense!

SEMINAR USTAZ CINTA

“Apalah ustaz, koman betul. Ceramah tentang cinta!” usik seorang teman.

Sulit untuk saya jelaskan.

Biar pun sudah banyak kali saya dipanggil mengisi ’seminar pengurusan cinta’, ia bukanlah deklemasi ayat-ayat cinta yang mengheret pesertanya terbang ke langit sembilan. Cinta itu tajuk yang catchy, tetapi hakikatnya ia adalah sebuah agenda mengubah dari dalam ke luar. Mengubah kepercayaan, mengubah pandangan hidup dan mengubah nilai pegangannya. Biar pun langkah-langkah itu perlahan, ia adalah perlahan yang menjadi keperluan.

Itu untuk saya.

Manakala bagi polis-polis cinta yang begitu ghairah menyerang golongan yang dikategorikan sebagai bermasalah ini, ketahuilah bahawa tiada jalan pintas untuk membetulkan keadaan ini. Teruskan langkah-langkah banteras yang anda lakukan, namun jangan sisihkan proses membetulkan mereka secara dalam ke luar. Lapangkan dada, sabarkan jiwa, kayakan hikmah, ikhlaskan hati, niatkan segalanya kerana ALLAH… bukan pemuas nafsu amarah.

88_21-22

Oleh itu berikanlah sahaja peringatan (kepada manusia, dan janganlah berdukacita kiranya ada yang menolaknya), kerana sesungguhnya engkau hanyalah seorang pemberi ingatan. Bukanlah engkau seorang yang berkuasa memaksa mereka (menerima apa yang engkau sampaikan itu) [al-Ghasyiyyah 88: 21-22]

Rujukan ~ ABU SAIF @ www.saifulislam.com

0 comments: