Thursday, March 12, 2009

Nikmat Dunia Menjauhkan Kita dari-Nya

Suatu kisah pengajaran...

Kisah ini berlaku sewaktu aku di Madinah. Suatu hari aku berjalan
melalui pasar. Sebaik saja muazzin melaungkan azan, aku terlihat
seorang wanita. Wanita itu ganjil cantiknya. Dia berpaling kepadaku
seolah-olah tahu bahawa aku merenungnya. Malah dia memberikanku
anggukan kecil penuh bermakna sebelum wanita itu berpusing di satu
sudut menuju ke lorong penjual sutera.

Bagaikan terkena panahan halilintar, aku serta-merta tertarik,
hatiku terpukau dengan wanita itu. Dalam kepayahan aku berdebat
dengan hatiku, memberikan satu demi satu alasan untuk meneruskan
langkahku ke masjid memandangkan masanya telah tiba untuk solat,
namun perdebatan ternyata gagal. Aku memutuskan untuk mengikut
wanita tersebut.

Aku bergegas mengejar wanita itu, nafasku pantas dan mengah manakala
wanita itu tanpa disangka mempercepatkan langkahnya. Dia telah
berada jauh beberapa kedai di hadapan. Dia memaling wajahnya
seketika padaku, terasa kudapat melihat cahaya senyuman nakal wanita
itu dibalik purdah hitamnya. "Adakah ini khayalanku sahaja?" bisik
hatiku. Akalku seolah-olah tidak berfungsi pada waktu itu.

"Siapakah wanita itu?"

Aku memantaskan langkahku dan memasuki lorong dimana wanita itu
dilihatku masuk. Dan seterusnya wanita itu mengimbau aku, sentiasa
dihadapan, masih tidak dapat dikejar, semakin jauh dan jauh dari
mana kami mula-mula bersua. Perasaanku tambah membuak.

"Adakah wanita itu orang gila?"

Semakin jauh nampaknya wanita itu berjalan hingga ke penghujung
bandar. Mentari turun dan tenggelam, dan wanita tersebut masih
berada jauh di hadapanku. Sekarang, kami berada di tempat yang tidak
disangka, sebuah perkuburan lama.

Kalaulah aku siuman seperti biasa, pasti aku akan merasa gementar,
tapi aku terfikir, tempat yang lebih ganjil dari ini biasa dijadikan
tempat pasangan kekasih memadu asmara. Dalam 60 langkah di antara
kami aku melihat wanita itu memandang ke arahku, menunjuk arah,
kemudian turun ke tangga dan melalui pintu bangunan sebuah kubur
tua.

Kalaulah aku tidak diamuk senyuman wanita itu tadi, pasti aku
berhenti sebentar dan memegun masa, tapi sekarang tiada guna
berpaling arah, aku menuruni tangga tersebut dan mengekori wanita
itu ke dalam bangunan kubur itu. Di dalam bilik bangunan kubur itu,
kudapati wanita itu duduk di atas ranjang yang mewah, berpakaian
serba hitam masih berpurdah, bersandar pada bantal yang diletak pada
dinding, diterangi cahaya lilin pada dinding bilik itu. Di sebelah
ranjang itu, aku terpandang sebuah lubang perigi. "Kuncikan pintu
itu," kata wanita itu, dengan suara yang halus gemersik seumpama
berbisik, "dan bawakan kuncinya. " Aku akur.

"Buangkan kunci tersebut ke dalam perigi itu," kata wanita itu. Aku
tergamam sebentar, kalaulah ada saksi di situ, pasti saksi itu dapat
melihat gamamku. "Buang-lah," ujar wanita itu sambil ketawa, "tadi
kau tidak berfikir panjang untuk meninggalkan solatmu untuk
mengekoriku kemari?" Tempelak wanita itu lagi. Aku diam.

"Waktu maghrib sudah hampir selesai," kata wanita itu bernada
sedikit menyindir . "Apa kau risaukan? Pergilah buangkan kunci itu,
kau mahu aku memuaskan nafsumu, bukan?" Aku terus membuang kunci
pintu tersebut ke dalam perigi, dan memerhatikan kunci itu jatuh.
Perutku terasa bersimpul tatkala tiada bunyi kedengaran ketika kunci
itu jatuh ke dalam lantai perigi. Aku berasa kagum, kemudian takut.

"Tiba masanya untuk melihat aku," kata wanita tersebut, dan dia
mengangkat purdahnya untuk mendedahkan wajah sebenarnya. Bukan wajah
segar seorang gadis remaja, tapi kehodohan wajah yang mengerikan,
jijik, hitam dan keji, tanpa satu zarah cahaya kelihatan pada alur
kedut ketuaannya. " Pandang aku sungguh-sungguh, " kata wanita itu
lagi.

"Namaku Dunia. Aku kekasihmu. Kau habiskan masamu mengejarku ,
sekarang kau telah memiliki diriku . Didalam kuburmu. Mari. Mari."
Kemudian wanita itu ketawa dan ketawa, sehingga dia hancur menjadi
debu, dan lilin itu padam satu demi satu, dan kegelapan menyelubungi
suasana.

Ya ALLAH kau tunjukkan kami jalan yang LURUS...AMIN

0 comments: