Saturday, October 17, 2009

Jadikan Usrah Agenda Utama


Tahniah dan syabas kepada Lujnah Tarbiyyah dan Latihan Kepimpinan PAS Pusat di atas kejayaan menerbitkan Buku Manhaj Usrah PAS 2 sebagai lanjutan daripada Buku Manhaj Usrah PAS 1.

Berikutan dengan penerbitan Manhaj Usrah PAS 2 dan Manhaj Usrah PAS 1 sebelumnya, adalah dicadangkan agar PAS Pusat melalui Lujnah Tarbiyyah dan Latihan Kepimpinan mengarahkan semua cawangan PAS di seluruh negara agar melaksanakan aktiviti usrah di peringkat cawangan masing-masing dengan menjadikan buku berkenaan sebagai teks usrah.

Tindakan terus membiarkan cawangan untuk memilih sama ada melaksanakan atau tidak melaksanakan usrah, tanpa sebarang arahan yang tegas apatah lagi pemantauan daripada kepimpinan parti, sebagaimana yang berlaku sehingga kini, tidak akan memberikan makna yang besar kepada kehadiran buku-buku berkenaan, apatah lagi kepada usaha menyerlahkan PAS sebagai sebuah gerakan Islam.

Lebih daripada itu, perlu diingat dan disedari, tuntutan melaksanakan aktiviti usrah semakin mendesak dalam suasana dan keadaan parti dan jamaah yang kita cintai ini kian diminati dan kini telah bersifat sebagai sebuah kerajaan menanti.Pengabaian kita khususnya pimpinan jamaah/parti terhadap tuntutan ini akan meletakkan jamaah dan parti dalam keadaan penuh ketempangan di sana sini.

Lawatilah cawangan-cawangan PAS di seluruh negara, kita akan dapati cawangan-cawangan PAS, bagaikan, hidup segan mati tak mahu, hidup dan kelihatan ada semasa musim pilihanraya dan hilang (mati) entah ke mana di luar musim pilihanraya.Segalanya berpunca daripada tiadanya mekanisme dan medan yang berkala sifatnya, yang mampu menggerakkan cawangan.

Dampingilah ahli-ahli PAS cawangan di seluruh negara, kita akan dapati betapa longgarnya hubungan persaudaraan sesama kita walaupun berada di dalam satu jamaah di satu cawangan yang sama.Terkadang tidak terasa di benak kita bahawa kita diikat dan terikat oleh jamaah/parti yang sama, yang menjadikan Islam sebagai dasarnya. Segalanya berpunya daripada tiadanya medan pertemuan di atas nama jamaah/parti yang boleh mengikat hati dan memesrakan diri sesama kita.

Sorotilah pemikiran ahli-ahli PAS cawangan di seluruh negara, kita akan dapati rencamnya bentuk pemikiran ahli-ahli kita, hatta dalam perkara yang kita sepatutnya tidak berbeza pendapat/pemikiran. Lebih menyedihkan, di kalangan kita ada yang buntu dan tidak tahu bila di tanya pandangan tentang isu-isu yang sering diperkatakan oleh pimpinan jamaah dan parti seperti negara Islam, hudud, Islam Hadhari dan seumpamanya. Segalanya berpunca daripada tiadanya medan pengisian ilmu haraki/ politik Islam secara tersusun yang boleh menyatukan fikrah/pemikiran ahli-ahli kita.

Pendek dan tegasnya, demi menggerakkan cawangan PAS di seluruh negara, mengukuhkan hubungan persaudaraan sesama kita, menyatukan pemikiran ahli-ahli kita, kita wajib mengorak langkah menjadikan usrah sebagai agenda dan aktiviti utama jamaah dan parti bermula dari peringkatnya yang paling asas iaitu cawangan. Biarlah di peringkat permulaan ini, ahli-ahli PAS cawangan boleh di kumpulkan di atas nama jamaah/parti dengan sedikit pengisian ilmu haraki/politik Islam (yang tidak dibincangkan di surau/masjid) oleh naqib-naqib/pimpinan kita dengan kekerapan paling minimum sebulan sekali.

rujukan: Ustaz Azizul

0 comments: