Friday, December 4, 2009

Doa Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat


Media memainkan isu doa Tok Guru Nik Abdul Aziz (TGNA) seolah-olah beliau telah melakukan satu kesalahan besar kerana membaca doa memohon Allah memusnahkan masa depan politik Perdana Menteri dan parti yang dipimpin beliau, iaitu UMNO. Sepertimana biasa, mereka memberikan gambaran seolah-olah TGNA telah menyeleweng dari prinsip Islam kerana mendoakan kehancuran seorang saudara seagama. “Bukankah Islam mengajar kita bahawa kita bersaudara? Tidak mungkin kita boleh mendoakan kemusnahan saudara seagama! TGNA sah sudah sesat dan tersasau!” kata mereka dengan megah dan bangga, yakin dengan kebenaran hujjah mereka.

Bagi yang tidak memahami, mereka akan terus melenting dan menempelak TGNA. Tetapi, apa yang dilakukan TGNA adalah satu usaha menetang kezaliman dalam bentuk yang paling minima. Doa beliau bukan tidak berasas. Ianya bukan timbul tanpa sebab, secara tiba-tiba mengikut 'mood', bangun pagi dan seterusnya menyatakan bahawa hari ini hendak doakan kemusnahan Najib!

Hakikatnya, doa ini adalah hasil dari dasar menganak-tirikan Kelantan dan rakyatnya secara berterusan semenjak mulanya Kelantan diperintah PAS. Kemuncak ketidak-adilan adalah apabila kerajaan pusat menzahirkan niat busuk mereka bagi menafikan hak rakyat Kelantan dengan memutarbelitkan tafsiran undang-undang berhubung hak milik Negeri. Begitu terdesak kerajaan BN sehingga menggunakan Ordinan Darurat 1969 yang mentakrifkan perairan Negeri hanya sehingga 3.3 batu nautika dari kedudukan air surut. Hasil dari pentakrifan baru ini, maka yang lebih dari 3.3 nautika adalah milik Negara bukan Negeri dan dengan itu tiada royalti yang perlu dibayar. Hujjah ini dikemukakan oleh BN untuk mempertahankan tindakan mereka menafikan royalti minyak kepada Negeri Kelantan.

Islam memandang berat persoalan keadilan. Keadilan adalah di antara matlamat disebalik Allah mengutuskan para Rasul seperti yang dijelaskan Allah dalam Al-Quran ayat 25 Surah Al-Hadid yang bermaksud :
“Telah Kami utuskan Rasul-rasul kami bersama bukti-bukti yang nyata dan menurunkan bersama mereka Al-Kitab dan Al-Miizan (Neraca) supaya manusia boleh menegakkan keadilan....”
Allah turut berfirman,
“Wahai orang-orang yang beriman berdiri tegaklah kamu, kerana Allah, sebagai saksi akan keadilan...”
Dalam memperjuangkan keadilan dan menentang kezaliman, sebuah Hadith yang masyhur juga telah menyebut,
“Sesiapa menyaksikan dari kalangan kamu kemungkaran, hendaklah dia mengubahkannya dengan tangannya, sekiranya dia tidak mampu, maka dengan lidahnya dan sekiranya dia tidak mampu, dengan hatinya dan itu adalah selemah-lemah iman”.
Dalam soal ini, apa yang dipertikaikan adalah, adakah wajar kita mendoakan kemusnahan seorang saudara seagama yang sedang menzalimi kita? Hakikatnya, Islam meletakkan keadilan itu mengatasi persaudaraan sebangsa dan juga seagama.

Mempertahankan kezaliman yang dilakukan seseorang yang sekaum hanya kerana dia ini berasal dari kaum yang sama telah dikutuk oleh Rasulullah (SAW) sebagai amalan 'Assaabiyah'. Assaabiyah ditolak Islam sehingga bersabda Rasulullah,
“Bukan dari ku orang yang menyeru kepada assaabiyah.....”
Begitu juga dalam soal seagama dimana tanggung jawab seseorang Muslim terhadap Muslim lain yang sedang melakukan kezaliman adalah menghalang saudara seagamanya dari melakukan kezaliman itu, bukan berdiam diri dan redha dengan kezaliman kerana si penzalim itu adalah saudara seagamanya!

Malahan terdapat ayat di dalam Al-Quran di mana Allah memerintah untuk memerangi orang beriman yang ingin bertindak zalim seperti ayat 9 Surah Al-Hujurat yang bermaksud:
“Dan kalau ada dua golongan dari orang beriman berperang-perangan, hendaklah kamu mendamaikan keduanya! Tetapi kalau yang satu (ingin terus) menginaya yang satu lagi, perangilah yang menginaya sehingga dia taat kepada perintah Allah. Sekiranya sudah taat kembali, damaikanlah keduanya dengan adil dan hendaklah kamu bertindak secara saksama. Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bersikap saksama.”
Jika diteliti ayat berkenaan, maka tidak sahaja diperintahkan untuk mendiamkan diri atau sekadar mendoakan 'golongan beriman' yang menginaya supaya insaf dan menjadi baik. Dalam ayat ini, Allah turut memerintahkan agar memerangi mereka! Perintah sebegini adalah bertujuan supaya penganiayaan itu dihentikan dan saudara seagama itu diselamatkan dari melakukan penginayaan.

Maka jika dilihat dari sudut ini, apalah sangat sebenarnya doa 'memusnahkan' ini, berbanding memerangi sehingga ditundukkan golongan yang menginaya? Sebenarnya inilah masalahnya, kadang-kadang orang Islam sendiri terpengaruh dengan ajaran agama lain. Islam tidak menganjurkan dasar, “berikan pipi kiri selepas pipi kanan ditampar”. Samalah seperti fahaman “agama suku, politik suku”.

Sepatutnya semua berusaha untuk menentukan kerajaan Pusat mengakui hak Negeri dan tidak terus menzalimi Kelantan, bukan membela tindakan kerajaan Pusat. TGNA mendoakan supaya Allah memusnahkan mereka sekiranya mereka ingin terus menafikan hak Negeri Kelantan dan rakyatnya. Sekiranya ingin mengelak dari kesan buruk doa tersebut, maka bertindak adil dan iktiraf hak milik Negeri!

Ada pula yang membawa hujjah, Rasulullah (SAW) dizalimi semasa ke Taif, dilontar batu dan diusir bagaikan manusia terhina. Namun Rasulullah (SAW) tidak meminta Jibrail (AS) memusnahan bandar Taif dan penduduknya apabila didatangi dan ditanya Jibrail. Mereka berkata TGNA sepatutnya bersikap seperti Baginda (SAW) dan tidak mendoakan kemusnahan Perdana Menteri lain.

Dalam kes Taif, yang dizalimi dan disakiti adalah peribadi Rasulullah (SAW) sendiri. Maka dalam isu ini, ianya bukan kesalahan dan kezaliman ke atas peribadi TGNA sendiri. Ianya di lakukan ke atas seluruh rakyat Negeri Kelantan yang mana ianya tidak akan mampu dimaafkan oleh mana-mana Menteri Besar atau Perdana Menteri sekalipun. Keduanya, semasa peristiwa Taif, ianya terhenti apabila Rasulullah meninggalkan Taif. Rasulullah didatangi Jibrail selepas peristiwa kezaliman itu selesai. Dalam isu ini, ianya kezaliman yang diteruskan ke atas seluruh rakyat Negeri Kelantan Darul Naim.

~Khalid Samad

2 comments:

maizatul akma said...
This comment has been removed by the author.
maizatul akma said...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Ya Allah,
kami letakkan Kamu di batang leher musuh kami dan kami berlindung dengan Mu daripada kejahatan mereka.

Ya Allah, leburkan kumpulan mereka, kacau bilaukan kesatuan mereka, cerai beraikan pakatan mereka, goncangkan pendirian mereka, hantarkan anjing-anjing Kamu ke atas mereka.

Wahai Tuhan Yang Maha Gagah,
Wahai Tuhan Yang Maha Perkasa,
Wahai Tuhan Yang bersifat murka,
Ya Allah, Ya Allah, Ya Allah.

Wahai Tuhan yang menurunkan
al-Quran,
Wahai Tuhan yang menewaskan bala tentera Ahzab,
kalahkan mereka, dan menangkan kami ke atas mereka.
Amin....