Tuesday, November 10, 2009

Adab2 Wanita & Lelaki Muslim

Saya sudah berkahwin dan tugas memerlukan saya bergaul dengan orang ramai, termasuk bukan muhrim. Saya tahu batasan antara wanita dengan lelaki seperti tidak boleh duduk berdua-duaan. Apakah adab lain yang perlu diamalkan oleh wanita dan lelaki Muslim .

Hamba Allah,

Putrajaya.


Hukum bekerja bagi perempuan adalah harus. Namun, kita perlu merujuk penjelasan syarak dalam kebenaran itu. Sayyid Qut membuat ulasan berkaitan pertemuan Nabi Musa AS dengan dua anak perempuan hamba yang salih di Madyan. Sesetengah pandangan mengatakan ia adalah Nabi Syuib AS. Lihat firman Allah dalam ayat 23 surah al-Qasas bermaksud: "Dan ketika dia sampai di telaga negeri Madyan, didapati di situ sekumpulan lelaki memberi minum (ternakan) dan di sebelah mereka dua perempuan yang menahan kambingnya. Dia bertanya: "Apa hal kamu berdua?" Mereka menjawab: "Kami tidak memberi minum (kambing) sehingga pengembala itu membawa ternakan masing-masing dan bapa kami seorang yang terlalu tua.


Musa memberi minum kepada binatang ternakan mereka, kemudian dia ke tempat teduh lalu berdoa: "Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki yang Engkau berikan." Kemudian seorang daripada dua beradik itu mendapatkannya dengan berjalan tersipu-sipu sambil berkata: "Bapaku menjemputmu untuk membalas budi memberi minum ternakan kami."


Kata Sayyid Qutb, syarat pertama membenarkan wanita bekerja apabila keadaan ekonomi menuntutnya. Dia terpaksa keluar mencari rezeki seperti dinyataka 'ayah kami sudah terlalu tua.'


Perkara kedua ialah jangan ada percampuran bebas antara lelaki dan perempuan. Ia dapat dilihat menerusi ayat: "Kami tidak memberi minum (kambing) sehingga pengembala itu membawa balik binatang ternakan masing-masing" dan syarat ketiga walaupun keluar. ia masih menjaga adab seorang Muslimah. Ini jelas dalam ayat: "Kemudian seorang daripada dua beradik itu mendapatkannya dengan berjalan dalam keadaan tersipu-sipu. " Wanita bekerja wajib menjaga maruah agar tidak menjadi wanita murahan, mudah bergelak ketawa dengan rakan sekerja lelaki. Jangan mudah menawarkan diri berdua-duaan makan tengah hari.


Wanita beriman perlu memelihara diri daripada menjadi alat hiburan lelaki liar. Firman Allah SWT dalam ayat 31 surah an-Nur bermaksud: "Dan katakan kepada perempuan beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala; dan jangan memperlihatkan perhiasan tubuh melainkan kepada suami atau bapa atau bapa mentua atau anak mereka, atau anak tiri, atau saudara mereka, atau anak bagi saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara mereka yang perempuan, atau perempuan Islam, atau hamba mereka, atau orang gaji daripada orang lelaki yang sudah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi mengenai aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentak kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi daripada perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah SWT, wahai orang yang beriman, supaya kamu berjaya."


Merujuk soalan kedua, lazimnya masyarakat Melayu menggunakan perkataan muhrim untuk merujuk golongan haram dikahwini. Sebenarnya perkataan yang tepat ialah mahram. Muhrim dalam bahasa Arab bermaksud orang berihram. Ajnabiula ialah lelaki asing bukan mahram, contohnya jiran atau rakan sepejabat. Ajnabiyyah pula ialah perempuan bukan mahram. Inti pati larangan kepada lelaki dan perempuan ialah jangan berdua-duaan dalam suasana mencurigakan. Hadis Nabi SAW menjelaskan, tidak akan berdua-duaan seorang lelaki dengan perempuan melainkan syaitan jadi yang ketiga.


Lelaki juga diharamkan bermusafir bersama wanita bukan mahram dan menceritakan masalah peribadi kepada wanita ajnabiyyah. Imam Nawawi menjelaskan dalam kitab al-Majmuk, maslahat memelihara hubungan ini demi kepentingan nasab. Amat benar kata ulama seperti Ibnul Qayyim iaitu pensyariatan undang-undang Islam demi keadilan dan kebaikan mutlak. Justeru, menegakkannya menyebabkan kehidupan teratur dan selamat daripada persengketaan.


~Persoalan agama bersama Ustaz Zahazam Mohamed~

0 comments: