Wednesday, June 18, 2008

Adakah kepimpinan para sahabat sudah tidak releven?

Jumaat bersamaan 13 Jun 2008, sebuah akhbar tempatan telah mengeluarkan satu kenyataan yang mungkin akan menjadi pertikaian sesetengah pihak. Kenyataan yang dikeluarkan itu berbeza sama sekali dengan apa yang dijelaskan oleh individu berkenaan. Sekiranya pembaca yang hanya membaca tapi tidak memahami isi kandungannya mungkin akan mempersalahkan 100% kepada si pengeluar kenyataan itu sedangkan maksudnya lain. Isunya adalah tajuk keratan akhbar ini tidak sesuai dengan kandungannya, sedangkan ia hanya menyatakan pengurusan kewangan di dalam Negara Islam itu adalah penting. Kepimpinan sekarang bukannya tidak boleh meniru kepimpinan para sahabat, bahkan digalakkan sama sekali. Saya berani menyatakan, “jahil” bagi seseorang muslim itu kalau dia tidak mengakui kepimpinan para sahabat di zaman khulafa’ Ar-Rasyidin dulu. Adakah kamu tidak membaca sirah? Adakah kamu tidak mengakui kepimpinan sahabat2 Rasulullah S.A.W?

xreleven3

Kenyataan yang menjadi persoalannya sekarang, adalah kenyataan “Pemimpin sekarang tidak perlu menjadi seperti pemimpin pada zaman kegemilangan Islam yang lebih menitikberatkan kebajikan rakyat sehingga rela menanggung kesusahan sendiri”. Adakah pemimpin tidak patut bersusah payah, memerah tenaga serta berkorban untuk kebajikan rakyat? Bukankah itu tanggungjawab kalian sebagai pemimpin? Pada pandangan saya, pemimpinlah yang patut menjadi ‘front line’ untuk rakyat. Sudah menjadi tanggungjawah pemimipin untuk memimpin serta menjaga golongan yang mereka pimpin. Saya ambil contoh mudah iaitu tanggungjawab seorang bapa di dalam sesebuah institusi keluarga. Bapa mempunyai tanggungjawab untuk memimpin isteri serta anak2nya dimana dia perlu memastikan keselamatan dan kebajikan mereka terjaga. Sudah menjadi tanggungjawab seorang bapa untuk menyediakan perlindungan, mencari rezeki dan memberikan didikan yang sempurna pada mereka. Itulah fitrah seorang pemimpin.
Disini saya selitkan sedikit sirah2 berkaitan dengan kepimpinan para sahabat.

Adalah diriwayatkan bahawa pada keesokan harinya iaitu sehari setelah Saidina Abu Bakar R.A terpilih sebagai Khalifah, baginda kelihatan membawa barang perniagaannya ke pasar. Beberapa orang yang melihat itu lalu mendekati baginda, di antaranya Abu Ubaidah Bin Janrah. Sahabat besar itu mendekati baginda seraya berkata, "Urusan Khalifah itu tidak boleh dicampuri dengan berniaga! Lalu Abu Bakar R.A. bertanya, "Jadi dengan apakah aku hidup, dan bagaimana aku membelanjai rumah tanggaku? Demikian sedihnya nasib yang menimpa Saidina Abu Bakar R.A. kerana walaupun kedudukannya sebagai Kepala Negara namun belum ada lagi ketetapan untuk bagi seseorang kepala pemerintah Islam memperolehi gaji dari harta kerajaan. Kebijaksanaan Abu Bakar R.A. juga ternyata dalam polisinya menyamakan pemberian elaun kepada orang-orang yang berhak agar mereka tidak dipisahkan oleh jurang-jurang perbezaan yang jauh agar tidak lahir satu golongan yang mendapat kedudukan yang lebih istimewa dan golongan-golongan yang lain. Sedangkan baginda sendiri hanya mengambil sekadar keperluan-keperluan asasi buat diri dan keluarganya.

Begitu juga dengan Saidina Umar yang dilantik sebagai khalifah selepas kematian Saidina Abu Bakar. Saidina Umar sangat mengambil berat tentang kebajikan rakyatnya. Pada suatu malam sedang dia meronda di sekeliling kota dan kampung untuk melihat hal rakyatnya, dia terdengar tangisan kanak-kanak. Saidina Umar menghampiri pondok buruk tempat tinggalnya kanak-kanak itu.
Dia mendengar ibunya menjerang sesuatu. Kanak-kanak tadi senyap seketika apabila melihat ibunya sedang memasak. Namun masakannya tidak siap-siap sehinggalah anaknya tertidur dalam kelaparan. Melihat keadaan yang menyayat hati itu, Saidina Umar memberi salam dan meminta izin untuk masuk. Wanita itu tidak sedar bahawa tetamu itu ialah Saidina Umar. Saidina Umar bertanya tentang hal kehidupan wanita itu. Wanita itu mengadu yang dia dan anaknya sudah berhari-hari tidak makan. Apabila anaknya menangis hendakkan makanan, dia pura-pura memasak dengan memasukkan beberapa ketul batu ke dalam periuk. Melihat keadaan itu, anaknya diam sebentar kerana menyangka ibunya memasak sesuatu.
Wanita itu mengadu dan mengutuk Khalifah Saidina Umar kerana tidak bertanggungjawab terhadap rakyatnya. Mendengar kutukan wanita itu, Saidina Umar terdiam sejenak. Sebentar kemudian, dia memohon diri meninggalkan keluarga wanita itu. Dalam kegelapan malam, Saidina Umar terus menuju ke Baitul Mal lalu mengambil sendiri beberapa pundi gandum untuk dihantar ke rumah wanita itu.
Sebaik sampai di rumah wanita itu, Saidina Umar memberi salam dan masuk ke rumahnya buat kali kedua. Dia mengambil gandum dari pundi lalu terus memasakkan untuk wanita dan anaknya. Wanita itu masih tidak sedar bahawa orang yang datang membawa gandum dan memasak itu ialah khalifah sendiri. Setelah siap, Saidina Umar sendiri menghidangkan makanan untuk wanita dan anaknya.
Melihat mereka gembira mengadap makanan, Saidina Umar berasa amat senang hati dan beredar dari situ. "Kalaulah Saidina Umar buat begini, alangkah baiknya....", kata wanita itu tanpa menyedari orang yang berada di hadapannya ialah Saidina Umar sendiri.

Nah, apa lagi yang silapnya kepimpinan para sahabat? Kitalah yang sepatutnya mencontohi para sahabat serta menjadikan mereka sebagai idola, bukan hanya mengandaikan kita tidak boleh meniru seperti mereka. Itu pemikiran yang sempit. Betulkan saya jika saya silap.

Saidina Abu Bakar pernah berkata pada rakyatnya, dimana baginda menyatakan "Wahai sekalian ummat! Aku telah dipilih menjadi pemimpin kamu padahal aku ini bukanlah orang yang terbaik di antara kamu. Sebab itu jika pemenintahanku baik, maka sokonglah, tetapi jika tidak baik, maka perbaikilah. Orang yang lemah di antara kamu adalah kuat pada sisiku hingga aku harus menolongnya mendapatkan haknya, sedang orang yang kuat di antara kamu adalah lemah pada sisiku, hingga aku harus mengambil hak orang lain yang berada di sisinya, untuk dikembalikan kepada yang berhak semula. Patuhilah kepadaku selama aku patuh kepada Allah dan RasulNya. Akan tetapi jika aku mendurhakai Allah, maka kamu sekalian tak harus lagi patuh kepadaku". Itulah yang sepatutnya yang berlaku, namun apa yang terjadi sekarang adalah sebaliknya.

Saya malu mengaku saya ini Islam jika saya sendiri tidak bangga dengan pemimpin2 dulu mahupun sekarang dimana mereka berjuang bermati-matian untuk menegakkan agama yang suci ni, iaitu Islam. Hanya mengharapkan keredhaan Allah semata2 dan memperjuangkan hak rakyat, itulah yang patut kita banggakan.

0 comments: